11/09/2023

Al-Qur'an Salah Kerana Menyatakan Maryam Sebahagian Daripada Triniti?

Al-Qur'an Salah Kerana Menyatakan Maryam Sebahagian Daripada Triniti?

Al-Qur'an Salah Kerana Menyatakan Maryam Sebahagian Daripada Triniti?

Dalam al-Qur'an terdapat satu ayat yang merakamkan satu dialog yang akan berlaku antara Allah SWT dengan Nabi 'Isa pada Hari Akhirat. Al-Qur'an menyebut yang bermaksud:

"Dan ingatlah hari di mana Allah akan berkata, “Wahai 'Isa ibn Maryam, engkaukah yang berkata kepada manusia; ambillah aku dan ibuku (Maryam) sebagai dua tuhan selain daripada Allah?”

(Surah Al-Ma'idah 5: 116)

Sebahagian misionari Kristian membawa dakwaan dengan mengatakan kenyataan di dalam ayat ini adalah satu kesilapan besar al-Quran terhadap doktrin Kristian. Triniti ialah suatu doktrin atau ajaran dalam agama Kristian yang menyatakan bahawa Tuhan yang Esa wujud dalam tiga oknum atau peribadi iaitu Bapa, Anak (Jesus: Nabi 'Isa) dan Roh Suci. Doktrin ini sama sekali tidak melibatkan ibu Nabi 'Isa iaitu Maryam (Mary) dalam formulasinya tiga oknumnya.

Oleh demikian, ayat 116 Surah al-Ma'idah ini diberi gambaran bahawa al-Quran melakukan kesilapan fakta terhadap kepercayaan kaum Kristian.

Bagi menjawabkan syubhat ini, perkara pertama yang perlu difahami secara jelas adalah ayat ke-116 Surah al-Ma'idah tidaklah merujuk kepada doktrin triniti dalam agama Kristian. Apa yang diberitakan al-Qur'an daripada ayat tersebut hanyalah semata-mata dialog yang bakal berlaku antara Allah SWT dengan Nabi 'Isa AS pada Hari Akhirat kelak.

Salah satu faktor timbulnya salah faham golongan misionari terhadap penterjemahan kalimah Arab ilaahain (إِلَـٰهَيْن) dalam ayat 116 Surah al-Ma'idah sebagai “dua tuhan” semata-mata dengan tanpa perincian lanjut bahawa ia turut boleh diterjemahkan sebagai “dua sembahan” dalam bahasa Melayu.

Hal ini kerana kata akar kalimah ilaahain iaitu ilah (إِلَـه) dalam bahasa Arab boleh merujuk kepada apa-apa jua entiti atau objek sembahan meskipun entiti atau objek berkenaan tidak dianggap sebagai sesuatu yang setara dengan Allah SWT.

Sehubungan itu, amalan sebahagian aliran Kristian terutama daripada denominasi Ortodoks Timur dan Roma Katolik yang mempunyai amalan memohon hajat (istighotsah) kepada Maryam atau Virgin Mary turut boleh dikategorikan sebagai perbuatan menjadikan Maryam sebagai ilah iaitu sembahan atau ‘tuhan’ sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat 116 Surah al-Ma'idah.

Selain itu, daripada sudut sejarah, sememangnya pernah wujud pada suatu ketika dahulu satu kelompok Kristian purba bernama Collyridian yang disepakati oleh ilmuan Kristian sebagai kelompok yang memang menyembah Maryam.

Patrick Madrid, seorang penulis di laman sesawang Catholic Answers dalam menjelaskan perihal kelompok Collyridian ini dengan menyatakan :

“The heresy of the Collyridians was very simple: They worshiped Mary.”

Kewujudan kelompok ini dalam sejarah diketahui melalui catatan Bapa Gereja purba Kristian Epiphanius of Salamis melalui karya beliau Panarion di mana beliau menyatakan bahawa kelompok Collyridian ini tinggal di jazirah Arab dan melakukan upacara persembahan roti kepada Virgin Mary sebagai suatu bentuk korban.

“Certain women there in Arabia have introduced this absurd teaching from Thracia: how they offer up a sacrifice of bread rolls in the name of the ever-Virgin Mary, and all partake of this bread.” (Panarion 78:13)

Secara kesimpulannya, al-Quran tidak melakukan kesilapan, bahkan ternyata ayat 116 dalam surah Al-Ma'idah itu adalah tepat dengan realiti yang berlaku terhadap sebahagian kelompok Kristian yang memuja Maryam. Di dalam ayat ini Allah SWT menyebut apakah jawapan nabi Isa kepada Allah:

“Dan (ingatlah) ketika Allah berfirman: "Wahai Isa ibni Maryam! Engkaukah yang berkata kepada manusia: `Jadikanlah daku dan ibuku (Maryam) dua tuhan selain dari Allah? ' " Nabi `Isa menjawab: "Maha Suci Engkau (wahai Tuhan)! Tidaklah layak bagiku mengatakan sesuatu yang aku tidak berhak (mengatakannya). Jika aku ada mengatakannya, maka tentulah Engkau telah mengetahuinya. Engkau mengetahui apa yang ada pada diriku, sedang aku tidak mengetahui apa yang ada pada diriMu; kerana sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui perkara-perkara yang ghaib.” (Surah Al-Maaidah 5:116)

Kembali