09/04/2025

Siri 2: Manuskrip al-Qur'an dari zaman Sahabat Nabi SAW

Siri 2: Manuskrip al-Qur'an dari zaman Sahabat Nabi SAW

Siri 2: Manuskrip al-Qur'an dari zaman Sahabat Nabi SAW 

Dalam artikel sebelum ini, pembaca telah diperjelaskan tentang sebab mengapa al-Qur'an tidak berkeperluan kepada sebarang bukti manuskrip bagi membuktikan keasliannya, iaitu kerana ia adalah sebuah audiobook yang tidak pernah terhenti dihafal dan diulang baca oleh sejumlah manusia yang ramai bermula dari zaman Nabi Muhammad SAW sehingga ke hari ini.

Namun begitu, ini tidaklah bermaksud dunia Islam tidak mempunyai sebarang warisan manuskrip al-Qur'an dari zaman awal Islam yang boleh bertindak sebagai hujah penyokong kepada keyakinan bahawa al-Qur'an sememangnya terpelihara. Justeru, artikel kali ini akan memperkenalkan tiga manuskrip al-Qur'an tertua yang diyakini oleh ramai pengkaji arkeologi dan sejarawan sebagai manuskrip yang berasal dari zaman di mana para sahabat Nabi Muhammad SAW masih lagi hidup dan berjalan di atas muka bumi.

1. Manuskrip Birmingham (Islamic Arabic 1572a)

Manuskrip Birmingham adalah manuskrip al-Qur'an paling tua yang diketahui wujud pada hari ini. Berupa dua keping lembaran kertas kulit bercoretkan ayat-ayat al-Qur'an dari Surah al-Kahfi (ayat 17 hingga ayat 31), Maryam (ayat 91 hingga 98) dan Tho-Ha (ayat 1 hingga ayat 40), usia kertas kulit manuskrip ini telah ditarikhkan menurut kaedah pentarikhan radiokarbon berasal dari antara tahun 568 Masihi hingga 645 Masihi.

Atas faktor usia kertas kulitnya, para sejarawan kemudiannya telah menganggarkan pula usia teks tulisan al-Qur'an yang tercoret di atasnya di mana ia telah dianggarkan berasal dari tempoh masa yang tidak begitu jauh selepas dari tahun 632 Masihi yang merupakan tahun kematian Nabi Muhammad SAW.

Penyelidik-penyelidik daripada projek penyelidikan Corpus Coranicum iaitu sebuah projek penyelidikan manuskrip al-Qur'an yang dikelola oleh Akademi Sains dan Kemanusian Berlin-Brandenburg (BBAW) di Jerman misalnya, telah bersetuju meletakkan anggaran tahun penghasilan Manuskrip Birmingham antara tahun 632 Masihi hingga tahun 660 Masihi.¹

Selain itu, seorang ilmuan daripada Universiti Birmingham sendiri pula, Profesor—kini Profesor Emeritus—David Thomas menyatakan bahawa individu yang menghasilkan Manuskrip Birmingham ini boleh jadi mengenali Nabi Muhammad SAW secara peribadi di mana beliau berkemungkinan pernah bertemu dengan baginda dan mendengar sendiri baginda berkata-kata di hadapan khalayak.²

Manuskrip yang merupakan sebahagian daripada Koleksi manuskrip-manuskrip Timur Tengah Mingana (Mingana Collection of Middle Eastern manuscripts) ini kini tersimpan di Perpustakaan Penyelidikan Cadbury (Cadbury Research Library) di Universiti Birmingham, England.

2. Codex Ms. Qāf 47

Codex Ms. Qāf 47 adalah sebuah manuskrip al-Qur'an berasal dari Mesir yang kini tersimpan secara terpisah di dua tempat penyimpanan berbeza iaitu pertama di Perpustakaan dan Arkib Kebangsaan, Mesir (Dar al-Kutub wa al-Watsā'iq al-Qaumiyah) dan kedua di Perpustakaan Negeri Berlin, Jerman (Staatsbibliothek zu Berlin).

Terdiri daripada 36 keping lembaran kertas kulit kesemuanya, tujuh daripada lembaran manuskrip ini yang sekarang tersimpan di Perpustakaan Negeri Berlin di bawah label nama Ms. or. fol. 4313 telah diuji dengan menggunakan kaedah pentarikhan radiokarbon bagi mengesan anggaran usia kertas kulitnya. Hasil ujian yang diterbitkan pada tahun 2015 memberikan anggaran usia berasal dari antara tahun 606 Masihi hingga 652 Masihi kepada kertas kulit manuskrip ini.³

Daripada sudut penilaian paleografi pula iaitu penganggaran usia tulisan yang terdapat pada manuskrip ini, para penyelidik projek Corpus Coranicum menganggarkan bahawa coretan teks ayat-ayat al-Qur'an yang terdapat pada Codex Ms. Qāf 47 ini dihasilkan antara tahun 640 Masihi hingga 680 Masihi.⁴

3. Manuskrip Tübingen (Ma VI 165)

Manuskrip Tübingen merupakan sebuah manuskrip kertas kulit yang mengandungi coretan ayat-ayat al-Qur'an bermula dari ayat ke-35 Surah al-Isra' hingga ayat ke-57 Surah Ya-Sin. Terdiri daripada 77 keping lembaran kertas kulit, manuskrip al-Qur'an yang berasal dari Damsyik ini dianggarkan oleh para penyelidik projek Corpus Coranicum dihasilkan pada suatu waktu antara tahun 650 hingga tahun 700 Masihi.⁵

Merekodkan lebih daripada satu per empat keseluruhan teks al-Qur'an iaitu meliputi hampir-hampir 8 juzu' daripada kesemua 30 juzu' al-Qur'an (sebahagian besar juzu' 15 hingga permulaan juzu' 23), manuskrip ini kini dipelihara dan disimpan di Perpustakaan Universiti Tübingen (Universitätsbibliothek Tübingen) di Tübingen, Jerman.

Ujian penganggaran usia kertas kulit mengunakan kaedah pentarikhan radiokarbon mengemukakan rentang masa antara tahun 649 Masihi hingga 675 Masihi sebagai tempoh masa di mana kepingan-kepingan lembaran kertas kulit manuskrip ini dihasilkan.⁶ Dalam erti kata lain, haiwan-haiwan yang daripada mana kertas kulit manuskrip ini dihasilkan dianggarkan mati ataupun dimatikan (disembelih) antara tahun 649 Masihi hingga 675 Masihi.

Demikianlah tiga manuskrip al-Qur'an tertua (berdasarkan penilaian usia teks tulisannya) yang diyakini oleh ramai pengkaji arkeologi dan sejarawan sebagai manuskrip al-Qur'an yang berasal dari tempoh masa di mana para sahabat Nabi Muhammad SAW masih lagi hidup dan berjalan di atas muka bumi.

Sebagai perbandingan, berikut adalah daftar tahun kematian tiga orang sahabat Nabi Muhammad SAW yang menjangkaui batas akhir (terminus ad quem) masa penghasilan dua daripada tiga manuskrip al-Qur'an yang diperbincangkan—khusus bagi Manuskrip Tübingen yang berbatas akhir pada tahun 700 Masihi, ia masih sedekad lebih awal dari tahun kematian salah seorang daripada tiga yang disenaraikan.

1. Abdullah bin Umar (m. 693 M)
2. Jabir bin Abd Allah (m. 697 M)
3. Anas bin Malik (m. 712 M)

Rujukan:

1. Cadbury Research Library (University of Birmingham): Islamic Arabic 1572a, Corpus Coranicum
2. “'Oldest' Koran fragments found in Birmingham University”, BBC News, 22hb Julai 2015. Diakses pada 27hb Mac 2025.
3. “Älteste bekannte Koran-Handschriften entdeckt”, Der Tagesspiegel, 2hb April 2015. Diakses pada 27hb Mac 2025.
4. Staatsbibliothek zu Berlin: Ms. or. fol. 4313 (VOHD 17, A, 1, 1) & Khedivial Library, today: Egyptian National Library and Archives (دار الكتب والوثائق القومية): "qāf 47 (ق ٤٧ )" (Gotthelf Bergsträßer archives), Corpus Coranicum
5. Universitätsbibliothek Tübingen: Ma VI 165, Corpus Coranicum
6. “Koran manuscript from early period of Islam”, Universität Tübingen, 10hb November 2014. Diakses pada 8hb April 2025

Kembali