03/03/2023

REINKARNASI: KEPERCAYAAN YANG MENYANGGAHI AKIDAH ISLAM

REINKARNASI: KEPERCAYAAN YANG MENYANGGAHI AKIDAH ISLAM

REINKARNASI: KEPERCAYAAN YANG MENYANGGAHI AKIDAH ISLAM

Reinkarnasi adalah merupakan kepercayaan yang menyatakan bahawa seseorang manusia yang mati akan lahir semula sama ada menjadi seorang individu manusia dengan identiti yang baharu atau menjadi makhluk yang lain seperti serangga atau binatang.

Konsep reinkarnasi adalah merupakan sebuah konsep kepercayaan yang masyhur dan penting dalam agama-agama yang bertunjangkan falsafah mengenai perjalanan roh seseorang sepertimana yang terdapat dari benua India seperti agama Hindu, Buddha, Jain dan Sikh.

Selain itu, konsep reinkarnasi turut menjadi pegangan para penganut agama Druze dan sebahagian pengikut aliran Kabbalah (Batiniyah) dalam kalangan penganut agama Yahudi. Namun begitu, bagi para penganut agama Druze dan pengikut aliran Kabbalah dalam agama Yahudi, reinkarnasi mereka hanya melibatkan kelahiran semula sebagai manusia sahaja dengan tanpa menembus masuk ke alam haiwan.

Bagi konsep reinkarnasi agama-agama yang lahir dari benua India, ia berkait rapat pula dengan dua konsep lagi iaitu samsara (संसार) dan karma (कर्म). Samsara (संसार) adalah merupakan kitaran antara kehidupan, kematian dan kelahiran semula manakala karma (कर्म) pula adalah nasib tertentu yang akan menimpa seseorang akibat daripada perbuatan individu tersebut dalam kehidupannya yang sebelum ini.

Khusus bagi reinkarnasi atau kelahiran semula menjadi makhluk yang lain seperti serangga atau binatang, ia kebiasaannya dikatakan berlaku akibat daripada karma yang buruk yang dimiliki oleh seseorang. Kejahatan-kejahatan yang dikatakan dilakukan oleh individu tersebut semasa kehidupannya yang sebelum ini pada akhirnya dikatakan telah menatijahkan dirinya lahir dalam bentuk binatang atau serangga yang dibenci seumpama tikus dan lipas.

Bertindak balas kepada idea ini pula, sebahagian pemikir ada mengutarakan persoalan bagi menguji kekonsistenan konsep reinkarnasi. Antara persoalan yang pernah diutarakan adalah persoalan daripada pemikir Islam, Abul A'la al-Mawdudi di dalam bukunya Mabadi al-Islam yang mempersoalkan bahawa seandainya binatang yang wujud pada hari ini dahulunya adalah manusia, dan manusia yang wujud pada hari ini pula adalah binatang; maka persoalannya adalah yang mana satukah yang wujud terlebih dahulu?

Hal ini adalah kerana untuk binatang wujud, perlu ada terlebih dahulu manusia yang reinkarnasi menjadi binatang, dan untuk manusia pula wujud, perlu ada pula binatang yang reinkarnasi menjadi manusia.

Dalam Islam, tidak terdapat konsep reinkarnasi, sebaliknya konsep yang ada adalah kehidupan di alam akhirat yang menjadi tempat balasan bagi segala perbuatan yang dilakukan oleh seseorang semasa hayatnya di dunia.

Hal ini adalah seperti firman ALLAH SWT dalam al-Qur’an :

كُلُّ نَفْسٍۢ ذَآئِقَةُ ٱلْمَوْتِ ۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ ۖ فَمَن زُحْزِحَ عَنِ ٱلنَّارِ وَأُدْخِلَ ٱلْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ ۗ وَمَا ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَآ إِلَّا مَتَـٰعُ ٱلْغُرُورِ ١٨٥

“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya." (Surah Ali 'Imran: 185)

Kembali