17/03/2025

Siri 1: Al-Qur'an - Audiobook yang Tidak Memerlukan Pembuktian Manuskrip

Siri 1: Al-Qur'an - Audiobook yang Tidak Memerlukan Pembuktian Manuskrip

???? Siri 1: Al-Qur'an - Audiobook yang Tidak Memerlukan Pembuktian Manuskrip ????

Apabila disebutkan al-Qur'an, ramai dalam kalangan masyarakat awam yang akan segera memahaminya sebagai satu naskah mushaf, iaitu lembaran-lembaran kertas bertuliskan ayat-ayat al-Qur'an yang dihimpun dan disusunkan mengikut aturan serta dijilidkan antara dua kulit buku.

Meskipun pemahaman ini tidaklah salah, namun ia sedikit sebanyak menjadikan ramai pihak terlupa bahawa al-Qur'an sebetulnya boleh wujud semata-mata dalam bentuk bacaan yang dihafal tanpa sebarang coretan berbentuk tampak, iaitu dengan tanpa dicoretkan huruf-huruf Hija'iyah yang mewakili bunyi bacaannya sebagaimana ia dahulunya wujud bersama-sama dengan Nabi Muhammad SAW dan sebahagian para sahabat baginda yang menghafalnya tanpa menuliskan ia di atas apa-apa sarana persuratan (writing medium).

Justeru, al-Qur'an pada awalnya adalah sebuah buku audio ataupun audiobook, di mana ia telahpun dihafal oleh Nabi Muhammad SAW yang mempelajarinya daripada Malaikat Jibril dan kemudiannya telah diperturunkan kepada para sahabat baginda secara lisan di mana sebahagiannya ada yang menuliskan ia di atas tulang-temulang, pelepah-pelepah tamar serta kepingan-kepingan kulit binatang manakala sebahagian yang lain ada yang kekal menghafalnya dalam ingatan semata-mata.

Al-Qur'an yang utamanya dihafal oleh para sahabat Nabi Muhammad ini kemudiannya telah diperturunkan pula secara mutawatir, iaitu secara beramai-ramai oleh sahabat-sahabat Nabi Muhammad ini kepada generasi umat Islam yang berikutnya iaitu golongan Tabi'in melalui kaedah penyampaian yang serupa iaitu melalui pengajaran lisan dan penghafalan.

Walaupun ada yang menuliskan al-Qur'an, kaedah penyebaran al-Qur'an kepada generasi umat Islam yang seterusnya tetap berlangsung melalui kaedah lisan dan hafalan. Hal ini bahkan berterusan sehingga ke selepas peristiwa Pengumpulan al-Qur'an pada zaman 'Uthman bin Affan RA dan berterusan sehingga ke hari ini.

Berdasarkan fakta ini, maka dapatlah difahami bahawa pemeliharaan al-Qur'an secara utamanya berlangsung dalam bentuk lisan serta hafalan manakala pemeliharaan dalam bentuk teks tulisan pula hanya berfungsi sebagai sokongan. Perkara ini bahkan berterusan sehingga ke hari ini di mana cetakan-cetakan mushaf al-Qur'an yang berada di seluruh dunia pada hari ini adalah tertakluk kepada apa yang dihafal secara bersanad oleh umat Islam iaitu golongan para penghafal al-Qur'an dan bukannya sebaliknya.

Justeru, seandainya didapati terdapat sebarang percanggahan berupa perbezaan antara apa yang didapati tertulis di atas mana-mana manuskrip al-Qur'an dengan apa yang berada dalam hafalan kolektif umat Islam, maka apa berada dalam hafalan kolektif umat Islam akan sentiasa membatalkan apa yang tertulis dalam manuskrip berkenaan kerana status mutawatirnya, iaitu ia telahpun dihafal secara beramai-ramai daripada satu generasi ke satu generasi yang secara logiknya bertindak sebagai kesaksian kolektif terhadap apa yang dianggap sebagai al-Qur'an berbanding manuskrip yang tidak dapat dipastikan siapa penulisnya yang hanya merupakan kesaksian tunggal bagi apa yang dianggap sebagai al-Qur'an tersebut.

Kesimpulannya, atas sebab inilah, al-Qur'an tidak berkeperluan kepada apa-apa pembuktian berbentuk manuskrip bagi mengesah atau menyaring keasliannya sebagaimana Bible, hal ini disebabkan tidak seumpama Bible, al-Qur'an adalah sebuah kitab yang sentiasa dihafal secara keseluruhan oleh sebahagian umat Islam semenjak dari zaman Nabi Muhammad SAW sehingga ke hari ini.

Kembali